7 kes keracunan makan cendawan liar

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan tujuh kes membabitkan 29 mangsa dilaporkan mengalami keracunan makanan selepas memakan cendawan atau kulat liar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes terbaru dilaporkan pada Rabu lalu di Jeram, Kuala Selangor apabila mangsa mengalami muntah dan cirit-birit selepas memakan mi segera dicampurkan cendawan atau kulat liar berkenaan.

Beliau berkata, daripada sembilan kes dilaporkan di Jeram, tiga daripadanya dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan selebihnya mendapat rawatan pesakit luar di klinik swasta.

“Siasatan mendapati cendawan atau kulat liar itu tumbuh selepas waktu hujan dan ia diperoleh dari belakang rumah. Sampel cendawan berkenaan sudah dihantar ke Pusat Penyelidikan Cendawan (Mushroom Research Centre), Universiti Malaya untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan mendapati cendawan itu sebagai Chlorophyllum molybdites yang beracun. Cendawan liar mudah tumbuh terutamanya pada musim hujan.

loading...

“Masyarakat dinasihatkan tidak mengambil cendawan liar untuk dimakan kerana yang beracun dan tidak beracun mungkin tumbuh berdekatan pada masa sama. Cendawan liar yang menyebabkan keracunan makanan dari spesies Chlorophyllum molybdites yang seakan sama cendawan busut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hishamn turut menasihatkan orang ramai berhati-hati memilih cendawan dan sebaiknya memakan spesis cendawan atau kulat yang biasa dimakan atau yang dijual secara komersial di pasaran yang disahkan selamat.

“Toksin atau racun daripada cendawan liar apabila dimakan boleh menyebabkan gejala iritasi gastrointestinal seperti loya, muntah dan cirit-birit. Selain itu, pesakit juga boleh mendapat gejala neurologikal seperti kecelaruan fikiran, halusinasi, gangguan kordinasi otot, sawan dan gejala lain seperti demam serta sakit kepala.

“Sebahagian toksin mempunyai kesan jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang dan kesan toksin cendawan teruk boleh menyebabkan kematian. Jika berasa tidak sihat selepas makan cendewan, orang ramai dinasihat segera ke klinik atau hospital untuk rawatan,” katanya.

Sumber:beritaharian

loading...
loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *