Anda Tanya Ustaz Jawab Siri 05 (Doa Penerang Hati, Hukum ASN Dan ASB, Kawin Perempuan Syiah, Syirik Dan Adab Baca Al-Quran)

21. Soalan : Bolehkah ustaz berikan doa-doa penerang hati untuk memudahkan menghafal pelajaran?

Jawapan :

Terdapat doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. kepada Sayyidina Ali k.w. untuk menjadikan kita mudah menghafal ayat-ayat al-Quran dan juga pelajaran kita.

Abdullah bin Abbas r.a. berkata, “Saya pergi ke majlis Nabi SAW dan disana Sayyidina Ali k.w telah datang dan berkata, “Wahai Rasulullah, saya mengorbankan ayah dan ibu saya untuk tuan, ayat-ayat al-Quran tidak melekat pada hati saya. Apa-apa saja yang saya hafal tidak kekal dalam ingatan.”

Nabi SAW bersabda maksudnya , “Hendakkah saya memberitahu kamu satu cara yang akan memberi manfaat kepada kamu dan kepada sesiapa yang akan kamu  sampaikan tentang hal ini serta apa-apa sahaja yang kamu pelajari akan terpelihara dalam ingatanmu?”

Diatas permintaan Ali k.w  Nabi SAW memberitahu, “Apabila tiba malam Jumaat, sekiranya kamu mampu, bangunlah pada satu pertiga bahagian akhir malam. Masa itu masa yang paling baik kerana masa itu adalah masa para malaikat turun ke bumi dan masa yang khusus untuk penerimaan doa. Untuk menunggu masa tersebutlah Nabi Ya’akub a.s. berkata kepada anak-anaknya yang bermaksud, ” Tidak lama lagi aku akan memohon keampunan untuk kamu daripada Tuhanku.” (yakni  malam Jumaat).

Setelah kita selesai solat Tahajjud 4 rekaat , memuji Allah SWT, beristighfar, berselawat dan mohon keampunan untuk kaum Muslimin dan Muslimat baik yang masih hidup atau telah meninggal dunia maka teruskan membaca doa ini :

loading...

“Ya Allah, rahmatilah daku sehingga daku dapat meninggalkan segala maksiat selama Engkau menghidupkan daku. Rahmatilah daku supaya daku tidak menanggung apa-apa beban yang tidak memberi manfaat kepadaku. Kurniakanlah kepada daku pandangan yang baik terhadap amalan yang membawa daku kepada keredhaan-Mu.

Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, wahai Tuhan yang memiliki kehebatan dan kemuliaan serta kehormatan yang tidak mungkin dapat dicapai oleh sesiapapun. Wahai Allah, wahai yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau menetapkan hatiku untuk menghafal kitab-Mu sebagaimana Engkau telah mengajarku. Dan kurniakanlah (taufik) supaya daku dapat membaca al-Quran dengan cara yang menyebabkan Engkau redha terhadapku.

Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang memiliki kehebatan, kemuliaan dan kehormatan yang tidak dapat di capai (oleh sesiapapun), wahai Allah dan wahai Tuhan yang Maha Pemurah, aku memohon dengan kehebatan dan nur wajah-Mu supaya Engkau mencahayakan penglihatanku dengan nur kitab-Mu dan Engkau mengerakkan lidahku untuk menyebut al-Quran dan Engkau menghilangkan kesempitan hatiku dengan keberkesanan al-Quran dan Engkau lapangkan dadaku dengan keberkatan al-Quran.

Dan Engkau membasuh badanku dengan al-Quran (dari kekotoran dosa) kerana sesungguhnya tiada pembantu bagiku keatas perkara yang haq (benar) kecuali Engkau dan tidak ada yang mengurniakan perkara haq itu (kepadaku) kecuali Engkau. Dan tiada daya (untuk melakukan sebarang kebaikan) dan tiada upaya (untuk menjauhi sebarang kejahatan) kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung.”

Selanjutnya, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, “Wahai Ali, lakukanlah amalan ini sama ada 3 kali Jumaat, 5 kali Jumaat atau 7 kali Jumaat. Insya Allah doa kamu pasti akan dikabulkan. Demi Zat yang mengutuskan daku dengan kebenaran, doa ini tidak akan ditolak daripada mana-mana Mukmin.”

loading...

Abdullah bin Abbas r.a. berkata, ” Setelah berlalu 5 atau 7 minggu maka Sayyidina Ali k.w. telah datang ke majlis Nabi SAW. dan berkata, “Wahai Rasulullah, dahulu saya membaca lebih kurang 4 ayat, itu pun saya tidak dapat mengingat sedangkan sekarang saya membaca 40 ayat dan ayat-ayat itu dapat saya ingati sehingga seolah-olah al-Quran terbuka dihadapan saya. Sekarang, setelah saya mendengar hadis, apabila saya ingin menyampaikan hadis itu kepada orang lain, satu huruf pun saya tidak tertinggal.”

Marilah kita amalkan doa ini semoga terbuka pintu hati kita untuk menerima ayat-ayat al-Quran dan  ilmu yang haq dan benar dan mampu pula kita amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Semoga Allah SWT memberi taufik dan hidayah-Nya kepada kita semua dan diiringi pula dengan rahmat dan keberkatan.

22. Soalan : Saya ingin membuat pertanyaan tentang Amanah Saham Bumiputra. dan Amanah Saham National

 1. Apakah hukumnya kita membuat pelaburan disini.?

 2. Bolehkah kita gunakan duit dividen yang kita dapat Harap tuan dapat terangkan..?

3. Bolehkah kita terima hadiah sekiranya menang cabutan bertuah sijil simpanan premium bank simpanan nasional ? Adakah ia terlibat unsur judi ?

Jawapan : 

1. Menurut Fatwa Negeri Selangor bahawa pelaburan di dalam ASB dan ASN adalah tidak halal kerana terdapat aktiviti pelaburan yang bercampur-campur yang patuh syariah dan juga yang tidak patuh syariah.

Keputusan fatwa tersebut adalah seperti berikut :

“Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

ما اجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.

Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.

Satu kenyataan dari ketua Islamic Capital Market Department, Mohd Radzuan Ahmad Tajuddin telah mengeluarkan surat kepada sebuah bank pada 12/2/2009 mengatakan bahawa ASB dan ASN telah tidak mematuhi garis panduan patuh syariah dalam Islamic Unit Trust Fund.

2. Kalau wang haram, maka menggunakan atau memakannya adalah haram. Oleh itu wang keuntungan yang haram eloklah diserahkan kepada Baitumal, digunakan untuk kepentingan awam. atau di berikan kepada fakir miskin atau untuk projek kegunaan orang awam seperti baiki jalanraya, pondok perhentian bas, longkang dan tandas awam.

3. Status Terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN)

2012/98/2 : Muzakarah Muamalat/Ekonomi

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan Status Terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN). Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), Muzakarah mendapati dan berpuashati bahawa pelaksanaan skim Sijil Simpanan Premium (SSP) oleh BSN telah dikemaskini dengan menggunakan akad Mudharabah (perkongsian untung) dan dana SSP dilaburkan dalam instrumen dan aset yang mematuhi Syariah serta hadiah-hadiah yang disumbangkan adalah menggunakan dana dari sumber Skim Perbankan Islam (SPI) BSN.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa skim Sijil Simpanan Premium yang telah diperbaharui pelaksanaannya oleh BSN adalah produk yang sepenuhnya mematuhi Syariah dan diharuskan oleh syarak.

23. Soalan : Seorang pemuda Islam (Ahli Sunah Waj Jamah) hendak berkahwin dengan perempuan daripada keluarga Syiah, apakah patuh dilakukan ustaz , boleh tolong beri pencerahan?

Jawapan :

Jika pemuda Islam yang hendak menikah perempuan daripada keluarga Syiah perlu bawa balik perempuan tersebut dan keluarganya kepada aqidah Islam yang sebenarnya kerana jelas fahaman Syiah adalah sesat dan menyesatkan. Jika mereka tak mahu balik kepangkal jalan dan kembali kepada aqidah islam lebih baik tinggalkan kerana ramai wanita Islam yang solehah ada di dalam masyarakat kita. Saya bimbang takut dia pura-pura kembali balik tetapi sesudah kawin golongan Syiah ini pula yang mengajak pemuda Islam tersebut masuk agama Syiah kerana Syiah boleh taqiyah (bohong dan dusta) nauzubillahiminzalik.

24. Soalan : Ustaz saya hendak tahu mengenai Syirik Besar dan Syirik Kecil. Bolehkan ustaz tolong jelaskan?

Jawapan :

Syirik terbahagi kepada dua iaitu Syirik Besar dan Syirik Kecil. Pertama : Syirik Besar (akbar) adalah menyekutukan Allah dengan yang lain.

Misalnya dalam agama Kristian ada tuhan anak, tuhan emak dan tuhan bapak. Semua agama penyembah berhala, yang menjadikan patung-patung berhala sebagai perantaraan dengan Allah SWT. dan menganggap dewa-dewa mempunyai kuasa seperti Tuhan. Mempercayai dan meyakini bahawa jin-jin dan syaitan mempunyai kuasa yang boleh mudaratkan manusia dan meminta pertolongan kepadanya. Termasuk syirik besar (akbar) juga meyakini undang-undang ciptaan manusia lebih baik dan lebih adil daripada undang-undang ciptaan Allah SWT.Firman Allah SWT. yang bermaksud : “Orang-orang yang beriman dan tidak mencampuradukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan mereka itu adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-An’aam ayat 82)

Para sahabat Rasulullah keberatan dengan ayat ini, dan bertanya kepada baginda, “Hai Rsulullah, siapa orang yang tidak menzalimi dirinya sendiri?”. Maka, baginda menjawab, “Maksud ayat ini bukan begitu, tetapi maksudnya adalah syirik. Bukankah kalian mendengar petuah Luqman kepad anaknya, “Wahai anakku, janganlah engkau menyekutukan Allah kerana sesungguhnya perbuatannya ini adalah dosa (kezaliman) besar.” (Hadis Riwayat Muttafaq alaih).

Kedua : Syirik kecil (yang tersembunyi)

Syirik kecil adalah syirik yang berlaku disebabkan perasaan riyak iaitu membuat sesuatu ibadah untuk mendapat pujian manusia bukan di laksanakan kerana Allah SWT.

Rasulullah SAW. keluar menemui sahabat-sahabatnya ketika mereka sedang berbincang tentang Masih Dajjal, maka baginda bersabda, “Maukah kalian saya memberi tahu yang lebih saya takutkan dari Al-Masih Dajjal?” Mereka menjawab, “Ya”. Maka baginda menjawab, “Iaitu syirik yang tersembunyi.” Mereka bertanya, “Apakah syirik tersembunyi itu?”. Baginda menjawab,”Seseorang berdiri untuk solat dan memperbagus solatnya ketika dilihat oleh orang lain.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Didalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Yang paling saya takutkan terhadap umatku adalah syirik kecil (ashghar)”.
Para sahabat bertanya, “Apakah syirik kecil itu hai Rasulullah?”

Maka, baginda menjawab, “Riyak. Allah SWT berfirman kepada mereka pada hari kiamat ketika semua manusia telah diberikan semua balasannya, ‘Pergilah kepada orang-orang yang kalian beramal di dunia kerananya, dan lihatlah apakah kalian akan mandapatkan balasan dari mereka?” (Hadis Riwayat Ahmad)

Oleh itu kita hendaklah jauhilah semua jenis syirik, samaada syirik besar atau pun syirik kecil. Hanya hati-hati yang beriman, bertakwa dan ikhlas sahaja akan dapat menghindari dirinya daripada syirik kepada Allah SWT.

25. Soalan : Bolehkan ustaz jelaskan apakah adab-adab membaca al-Quran?

Jawapan :

Ulama-ulama muktabar telah menggariskan beberapa adab sebagai panduan sepeti berikut:

1. Hendaklah sentiasa suci pada zahir dan batin kerana membaca al-Quran adalah zikir yang paling afdal (utama) dari segala zikir yang lain.

2. Hendaklah membaca di tempat yang suci dan bersih yang layak dengan kebesaran Yang Maha Agong dan ketinggian al-Quranul Karim. Para Ulama berpendapat sunat membaca al-Quran di Masjid iaitu tempat yang bersih dan mulia di samping dapat menambah kelebihan pahala-pahala iktiqaf.

3. Hendaklah memakai pakaian yang bersih, cantik dan kemas.

4. Hendaklah bersugi dan membersihkan mulut. Melalui mulut tempat mengeluarkan suara menyebut ayat al-Quran. Hadis Rasulullah S.A.W.  berbunyi:
“Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.”

Berkata Yazid bin Abdul Mallek: “Sesungguhnya mulut-mulut kamu adalah merupakan jalan-jalan lalunya al-Quran maka peliharalah dengan bersugi.”

5. Hendaklah melahirkan di dalam ingatan bahawa apabila membaca al-Quran seolah-olah berhadapan dengan Allah dan bacalah dalam keadaan seolah-olah melihat Allah S.W.T. Walaupun kita tidak dapat melihat Allah sesungguhnya Allah tetap melihat kita.

6. Hendaklah menjauhkan diri dari ketawa dan bercakap kosong ketika membaca al-Quran.

7. Jangan bergurau dan bermain-main ketika sedang membaca al-Quran.

8. Hendaklah berada dalam keadaan tenang dan duduk penuh tertib. Jika membaca dalam keadaan berdiri hendaklah atas sebab yang tidak dapat dielakkan adalah harus.

9. Setiap kali memulakan bacaan lebih dahulu hendaklah membaca Istiazah: (A’uzubillahiminasy-syaitannirrajim).

Kerana memohon perlindungan dari Allah dari syaitan yang kena rejam.

10. Kemudian diikuti dengan membaca basmallah: (Bismillahirrahmanirrahim).

Hendaklah membaca Bismillah itu pada tiap-tiap awal surah kecuali pada surah At-Taubah.

11. Hendaklah diulang kembali membaca Istiazah apabila terputus bacaan di luar daripada al-Quran.

12. Hendaklah membaca dengan Tartil (memelihara hukum tajwid). Secara tidak langsung menambah lagi minat kepada penghayatan ayat-ayat yang dibawa dan melahirkan kesan yang mendalam di dalam jiwa.
Firman Allah S.W.T maksudnya : “Kami membaca al-Quran itu dengan tartil.”
(Surah Al-Furqan ayat 32)

“Hendaklah kamu membaca Al-Quran dengan tartil.”
(Surah Al-Muzammmil ayat 4)

Pengertian Tartil pada bahasa: Memperkatakan sesuatu perkara itu dengan tersusun dan dapat difahami serta tanpa gopoh-gopoh. Menurut Istilah Tajwid ialah membaca al-Quran dalam tenang dan dapat melahirkan sebutan huruf dengan baik serta meletakkan bunyi setiap huruf tepat pada tempat-tempatnya. Saydina Ali k.w berkata: “Pengertian tartil ialah mentajwidkan akan huruf-huruf al-Quran dan mengetahui wakaf-wakafnya.”

13. Hendaklah berusaha memahami ayat-ayat yang dibaca sehingga dapat mengetahui tujuan al-Quran diturunkan oleh Allah S.W.T.

Allah S.W.T. berfirman maksudnya : “Inilah al-Quran yang memimpin jalan yang lurus. (Surah Al-Israi’ ayat 9)

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Kami turunkan Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukminin.”
(Surah Al-Isra’ ayat 82)

Firman Allah S.W.T. lagi maksudnya : “Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh barakah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.
(Surah Sad ayat 29)

14. Hendaklah menjaga hak tiap-tiap huruf sehingga jelas sebutannya kerana tiap-tiap satu huruf mengandungi sepuluh kebajikan. Hadis dari Rasulullah S.A.W. berbunyi:

Diriwayatkan dari Tirmizi dari Abdullah bin Masud daripada Rasulullah S.A.W. telah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan Alif Laam Miim satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”

15. Hendaklah membaca al-Quran mengikut tertib mashaf. Dilarang membaca dengan cara yang tidak mengikut susunan kecuali diceraikan surah-surah dengan tujuan mengajar kanak-kanak adalah diharuskan.

16. Hendaklah berhenti mambaca apabila terasa mengantuk dan menguap kerana seseorang yang sedang membaca al-Quran ia bermunajat kepada Allah dan apabila menguap akan terhalang munajat itu kerana perbuatan menguap adalah dari syaitan.

Berkata Mujahid: Apabila kamu menguap ketika membaca al-Quran maka berhentilah dari membaca sebagai menghormati al-Quran sehingga selesai menguap.

17. Hendaklah meletakkan al-Quran di riba atau di tempat yang tinggi dan jangan sekali-kali meletakkannya di lantai atau di tempat yang rendah. Sabda Rasulullah S.A.W.:

Ubaidah Mulaiki r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Wahai kaum ahli-ahli al-Quran jangan gunakan al-Quran sebagai bantal tetapi hendaklah kamu membacanya dengan teratur siang dan malam.”

18. Hendaklah memperelokkan bacaan dan menghiaskannya dengan suara yang baik.

Sabda Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis: Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : “Hiasilah al-Quran dengan suara-suara kamu.”

19. Setiap bacaan hendaklah disudahi dengan membaca:
(Sadaqallahul’azim).

20. Disunatkan berpuasa di hari khatam al-Quran dan diikuti dengan mengumpul ahli keluarga dan sahabat handai bersama-sama di dalam hari khatam al-Quran. Dalam sebuah hadis ada menjelaskan kelebihan orang yang telah khatam al-Quran menerusi sebuah hadis yang berbunyi:

Telah bersabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya : “Sesiapa yang telah khatam al-Quran baginya doa yang dimakbulkan.”

Wallahu a’lam.

loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *