Laporan polis terhadap Shahidan

KOTA BHARU: Pertubuhan Keturunan Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang didakwa menderhaka kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, di sini pada jam 9.30 pagi.

Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin, berkata laporan polis dibuat selepas beliau mengetahui isu itu menerusi Facebook kelmarin.

Menurutnya, pertubuhan kesal dengan tindakan Shahidan yang juga Pengerusi BN Perlis menderhaka kepada Raja Perlis yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku.

“Jika sekali pun Shahidan tidak berpuas hati dengan pelantikan Menteri Besar yang baharu, beliau perlu akur dengan kehendak Raja Perlis mengikut aspek pentadbiran demi kebaikan negeri itu.

“Shahidan juga tidak boleh menggunakan amarahnya sehingga memberikan kesan buruk pada kedudukan beliau sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, ” katanya ketika ditemui di IPD, di sini hari ini.

loading...
KOTA BHARU 28 MEI 2018. Yang DiPertua Pertubuhan Paduka Cik Siti Wan Kembang Malaysia, Fadzillah Hussin (tudung putih) menunjukkan salinan repot polis terhadap Datuk Shahidan Kassim yang menghina Raja Perlis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa. NSTP/FATHIL ASRI.

Seramai 10 ahli pertubuhan itu hadir memberi sokongan kepada Fadzillah berhubung isu berkenaan, selain menzahirkan pertubuhan itu mempunyai hubungan baik dengan Raja Perlis.

Fadzillah berkata, laporan ini juga bertujuan mempertahankan institusi raja sebagai lambang hak dan ketuanan Raja Melayu dan ketuanan Tanah Melayu.

Katanya, pertubuhan itu turut menyeru supaya Shahidan meletak jawatan bagi mengelak isu berbangkit.

loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *