PM kata bekas AG beritahunya rancangan untuk dakwa Najib

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan bagaimana beliau merancang mendakwa Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Saya ingin tahu apa yang berlaku ketika dia (Gani) dipecat dan apakah hasil siasatannya.

“Dia (Gani) dakwa beliau sedang menyediakan kertas pertuduhan terhadap Najib dan pada pagi itu dia dilucutkan jawatannya,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepemimpinan Perdana di Putrajaya petang ini.

Ditanya sama ada  Gani ada menunjukkan sebarang dokumen, Mahathir berkata beliau tidak meminta bukti dikemukakan dan hanya diperkatakan secara lisan.

Gani sedang mengetuai pasukan petugas khas yang menyiasat RM2.6 bilion dalam akaun bank bekas perdana menteri dan kes SRC International.

loading...

Beliau digantikan oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ketika siasatan rancak dijalankan atas sebab-sebab kesihatan, walaupun spekulasi merebak luas bahawa tindakan itu sebagai usaha menutup kes berkenaan.

Sepanjang tempoh tersebut, kertas pertuduhan terhadap Najib juga diedarkan tetapi pentadbiran kerajaan sebelum ini menolaknya sebagai palsu.

Anggota pasukan petugas khas yang lain adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akthar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Sejak memenangi pilihan raya umum ke-14, Mahathir menjadikan pengganti Gani, sebagai sasarannya kerana membebaskan Najib daripada sebarang salah laku.

Beliau menuduh Apandi menyembunyikan bukti berkaitan dengan 1MDB.

loading...

Apandi, yang sudahpun diarahkan bercuti, menafikan dakwaan itu.

Najib mendakwa wang RM2.6 bilion yang berada dalam akaun bank peribadinya adalah derma daripada keluarga diraja Arab Saudi tetapi siasatan antarabangsa mendapati bahawa wang itu mungkin berasal dari 1MDB.

Najib juga menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi.

Semalam, Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib dan menolak kemungkinan mengadakan rundingan dengan bekas “anak muridnya” itu.

Sumber:malaysiakini

loading...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *